Jika anda seorang yang updated anda mungkin sudah biasa mendengar perbincangan berkenaan perlindungan data peribadi. Melindungi data berkenaan diri umpamanya nombor kad pengenalan, alamat rumah dan rekod perbankan adalah maklumat rahsia yang didedahkan oleh pemilik data hanya pada keadaan dan orang yang tertentu sahaja. Namun, berlaku salahguna data dan maklumat apabila terdapat pihak ketiga yang menggunakan data peribadi sama ada dengan cara memohon pinjaman atau digunapakai oleh scammer. Pernahkah anda menerima panggilan daripada scammer yang berlagak sebagai seorang kakitangan mahkamah atau dari pihak bank yang menyamar seolah-olah terdapat pihak lain yang telah menggunakan data peribadi untuk mendapatkan pinjaman?
Tidak kira apa-apa cara sekalipun namun modus operandi tetap sama. Scammer akan menelefon mangsa dengan menggunakan nombor telefon yang terdapat di dalam rekod peribadi pemilik dan kemudiannya membuat pengesahan bagi mengelakkan rasa was-was di pihak mangsa. Mangsa yang terpedaya akan merasa percaya bahawa pihak yang menelefon adalah pihak bank setelah disahkan dengan nombor kad pengenalan dan alamat atau juga dengan nama emak mangsa. Sedangkan data-data ini adalah data asas yang sememangnya telah berada di tangan scammer.
Persoalannya adalah siapakah scammer ini dan daripada manakah mereka peroleh data peribadi seseorang?
Cuba ingat kembali dan tanya pada diri sendiri sama ada anda pernah melakukan perkara-perkara ini :
a. Mengisi borang pertandingan di pasaraya;
b. Mengisi borang permohonan kad ahli di mana-mana agen/kedai atau premis perniagaan;
c. Mengisi apa-apa borang yang mempunyai kotak istimewa yang memberikan kuasa tertentu kepada pihak penganjur untuk menggunakan data anda bagi apa-apa tujuan kepada pihak ketiga.
Data-data yang anda isi berkemungkinan pada asalnya akan digunakan bagi tujuan promosi atau lain-lain. Namun, siapa sangka ianya juga boleh dimanipulasi dengan perkongsian secara meluas oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penulis sendiri berpenglaman menerima sms promosi pinjaman wang dari agen-agen yang tidak bertauliah, pernah menerima panggilan telefon yang menawarkan perkhidmatan insurans yang cukup hanya dengan berlaku tawaran dan penerimaan secara panggilan telefon dan pernah juga menerima panggilan daripada scammer yang berlagak seolah-olah pegawai daripada Mahkamah. Mungkin pada asalnya perkongsian data adalah bagi tujuan promosi sepertimana dinyatakan pada borang yang diisi namun apabila ianya telah disalahguna dan disebarkan, ianya menjadi suatu bencana yang sukar dibendung dan dihentikan.
Perkara sebegini boleh menjadi suatu mimpi ngeri dengan berkembangnya taktik dan helah scammer. Penyebaran tanpa sempadan menjadi tiket bagi scammer melebarkan sayapnya. Ini terbukti dengan kes-kes penipuan melalui panggilan telefon yang semakin meningkat.
Walaupun telah disebarkan peringatan oleh pihak Kerajaan melalui siaran iklan di media massa namun ibarat mencurah air di daun keladi, aktiviti ini kekal dan tidak berubah. Program-program kesedaran juga banyak dikongsikan di media massa namun masih ada yang terpedaya dan menjadi mangsa yang seterusnya. Pendek cerita, scammer mempunyai pelbagai helah dan daripada 10 yang terpedaya mungkin seorang akan menjadi mangsa. Jika diperhatikan, jumlah wang yang menjadi perkara asas penipuan adalah sejumlah yang besar. Jarang sekali kita mendengar scammer menipu dengan habuan yang beratus ringgit. Sama ada ini kebetulan atau terancang adalah sukar untuk dipastikan.
Dalam hal perkara sebegini, wajar untuk diperhatikan beberapa perkara yang menimbulkan syak atas panggilan scammer ini. Tidak kiralah bagaimana mereka cuba untuk memanipulasikan keadaan, cuba fikirkan perkara-perkara yang dinyatakan di bawah ini dengan berhati-hati :
1.
1. Sekiranya anda menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan mengaku sebagai seorang pegawai mahkamah, pastikan anda nombor telefon yang digunakan boleh disemak kembali (bukan n “no number” atau “private number “). Ini akan memudahkan anda untuk membuat semakan semula atau “double check”;
2. Penyamar akan berlagak seperti seorang pegawai (mahkamah/ polis). Dapatkan nama penuh, no badan atau jawatan di mahkamah. Sekiranya pemanggil enggan mendedahkan maklumat-maklumat tersebut anda bolehlah terus putuskan panggilan tersebut;
3. Sekiranya anda terlepas untuk mendapatkan maklumat yang dinyatakan di atas, anda mungkin telah terlepas maklumat penting. Namun, sekiranya anda masih berada di talian, anda boleh teruskan dengan melayan panggilan tanpa melibatkan transfer wang atau mendedahkan no pin, no kad, tac no, id dan password online banking. Perbuatan memindahkan wang bukanlah suatu tindakan yang wajar dilakukan oleh mana-mana orang selain pemilik. Terdapat juga kes yang melibatkan pemindahan wang yang dilakukan oleh pemilik akaun sendiri. Dalam keadaan sebegini, pemilik akaun sepatutnya mendapatkan pandangan kedua sebelum melakukan apa-apa tindakan yang tidak wajar.
Kes terbaru dilaporkan oleh astro awani melibatkan seorang jurutera yang kerugian wang RM70,000. Tindakan memindahkan wang ini dibuat dengan cara yang sangat licik. Perlu diingatkan bahawa tindakan pemindahan wang ke akaun yang lain bukanlah suatu tindakan yang wajar dalam apa-apa keadaan sekalipun, apatah lagi memindahkannya ke akaun yang tidak dikenali.
Sumber : http://www.astroawani.com
Mungkin aktiviti ini bebas bergerak kerana masih terdapat ruang untuk mangsa yang naif namun sebagai seorang yang peka kepada perkembangan semasa, jadilah lebih bijak dengan mengambil iktibar daripada pengalaman dan keadaan yang menimpa mangsa yang lain. Jumlah dan keadaan mungkin berbeza namun matlamat sindiket ini tetap sama iaitu mencuri wang dengan cara paling tidak bermaruah. Hati-hati dan waspada kerana malang itu tidak berbau.
Iswa Tonie
Putrajaya
07.11.2018