Arab Saudi Larang Umrah Dan Sarankan Umat Islam Untuk Tangguhkan Haji



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Assalamualaikum...

PKP  Hari ke-15. Perintah hanya seorang daripada satu keluarga yang dibenarkan keluar untuk urusan penting sahaja umpamaya membeli barangan keperluan harian untuk keluarga masih kekal. Sementara ahli keluarga yang lain diarahkan memberi kerjasama dan patuh arahan Kerajaan untuk kekal duduk di rumah. Ahad lalu(22.3.2020) Kerajaan telah mengarahkan agar askar dan polis bersama mengawal pergerakan rakyat kerana walaupun telah memasuki hari ke -4 (Sabtu) namun masih ramai yang berdegil dan engkar perintah.  Jika tidak boleh sumbang sikit sumbang kudrat untuk negara, sumbanglah walaupun hanya doa dan patuhlah pada arahan semasa Kerajaan.

Pada awal bulan ini TH telah menawarkan tempat untuk mengerjakan ibadah haji bagi tahun semasa 1441H. Boleh baca posting tersebut di DI SINI jika belum baca. Jika diikutkan giliran sebenar (saya yang telah mendaftar pada Oktober 2008) adalah pada tahun hadapan, 1442H/2021.  Namun, keadaan semasa yang membingungkan menyebabkan ramai bakal-bakal haji bersikap menanam sikap tawakal dan redha akan ketentuan Allah. Dalam keadaan sekarang, hanya doa yang mampu dipanjatkan kepada Ilahi agar keadaan kembali kepada sedia kala.

Pada 27 Februari 2020 yang lalu, Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan penggantungan pengeluaran visa sementara dan pada 4 Mac 2020, arahan penuh larangan larangan umrah dan ziarah Masjid Nabawi telah dikeluarkan. Arahan tersebut dikeluarkan setelah kes Covid-19 dikesan menular ke negara tersebut. 

Selepas itu pada 23 Mac 2020 Kerajaan Arab Saudi telah mengarahkan perintah kawalan pergerakan selama 21 hari. Dalam tempoh ini rakyat diarahkan untuk kekal di rumah pada jam 7 malam hingga 6 pagi setiap hari sebagai suatu langkah keselamatan. Melihat gambar-gambar tanah haram kosong berbanding dahulu sangat-sangat mengharukan...



Dalam pada itu, persoalan sama ada ibadah haji akan diteruskan pada tahun semasa 1441H masih belum ditentukan/dimuktamadkan oleh Kerajaan Arab Saudi  dan Malaysia. Pada 31.3.2020 ada perkongsian yang menyatakan bahawa Kerajaan Arab Saudi telahpun mengeluarkan saranan agar bakal-bakal haji menangguhkan ibadah tersebut. Berkenaan perkara ini, Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri telah memaklumkan media bahawa satu pertemuan akan di buat dengan Keduataan Arab Saudi bagi mengetahui pendirian dan keputusan sebenar Kerajaan Arab Saudi berkenaan perkara ini.






Semoga Allah angkat wabak ini dengan segera dan umat Islam dapat hadir di rumahnya menjadi tetamuNya semula. Insyallah..